Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

14.12.19 Hari Terbuka Perpustakaan DBP Tingkatkan Penggunaan Perpustakaan

BERAKAS, Sabtu, 14 Disember. – Perkampungan Perpustakaan merupakan salah satu platform penyatuan antara ahli-ahli perkhidmatan dengan kakitangan perpustakaan bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan memberi peluang kepada ahli-ahli perpustakaan bersuai kenal dengan ahli-ahli perpustakaan cawangan lain termasuk kakitangan perpustakaan.

Sehubungan itu satu majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Ali bin Pengiran Maon, juga selaku Penghulu Mukim Berakas 'B' yang mengambil tempat di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Lambak Kanan, Jalan 99, Rancangan Perumahan Negara Lambak Kanan.

Perkampungan Perpustakaan turut diselajurkan dengan Hari Terbuka Perpustakaan DBP Lambak Kanan yang antara lain bertujuan untuk memudahkan orang ramai datang berkunjung pada satu masa, di samping memberi peluang kepada ahli-ahli perkhidmatan perpustakaan di keempat-empat daerah untuk meninjau acara hari terbuka perpustakaan di perpustakaan cawangan lain.

Acara perkampungan yang berkonsepkan aktiviti sukan ria tersebut bertepatan dengan tema 'Perpustakaan Ceria' bagi Majlis Perkampungan Perpustakaan dan Hari Terbuka Perpustakaan tahun ini, yang melibatkan setiap cawangan dan unit-unit di Bahagian Perpustakaan menyediakan pelbagai kegiatan yang disertai oleh ahli-ahli dan kakitangan perpustakaan.

Hari Terbuka Perpustakaan pula merupakan salah satu usaha DBP khususnya Bahagian Perpustakaan untuk meningkatkan penggunaan perpustakaan dan mempromosi perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan kepada orang ramai.

Pelbagai pameran dan kegiatan aktiviti diadakan selama dua hari bermula hari ini dengan kolaborasi bersama beberapa agensi kerajaan, badan-badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat dan penduduk kampung sekitar di Mukim Berakas 'B', Majlis Perundingan Kampung (MPK), vendor-vendor persendirian dan syarikat swasta bagi sama-sama memeriahkan lagi Hari Terbuka Perpustakaan Lambak Kanan yang dibukakan bagi kunjungan orang ramai bermula dari pukul 8.00 pagi sehingga 5.00 petang.

Hadir sama di majlis tersebut, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Pengiran Haji Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan; Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Dr. Siti Norkhalbi binti Haji Wahsafelah; Pemangku Pengarah  DBP, Awang Suip bin Haji Abd Wahab serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.

 

(sumber berita: Pelita Brunei)

Attachments