Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

14.03.20 Terus bahas isu penting dalam menyampaikan suara rakyat

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 14 Mac - Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin bin Dato Paduka Haji Sabtu berkata, MMN pada musim ini membincangkan beberapa isu utama yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi Brunei, terutama dengan penurunan permintaan dan harga minyak yang semakin menurun, yang akan mencetuskan defisit bajet negara, walaupun Negara Brunei Darussalam mencatat surplus pada tahun lepas 2019 - 2020.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pendikar Alam Dato Paduka Seri Awang Haji Hasrin berucap demikian semasa Ucapan Penangguhan pada hari kelima Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-16 MMN, di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, di sini.

Beliau seterusnya menyarankan dan berharap Yang Berhormat Ahli-ahli MMN lain akan terus membahaskan isu-isu penting melalui persuratan atau mana-mana platform bersesuaian dalam menyampaikan suara rakyat.

Menyentuh mengenai penularan wabak jangkitan COVID-19, Yang Berhormat melahirkan ucapan penghargaan kepada pihak-pihak yang berkenaan, terutama front lines yang bertungkus-lumus melaksanakan tugas bagi mengurangkan risiko penularan wabak berkenaan di negara ini.

''Khususnya, kakitangan Kementerian Kesihatan, media massa, Pasukan Polis Diraja Brunei, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan lain-lain. Dalam perkara ini, kaola ingin juga menasihatkan orang ramai untuk mengikut apa jua arahan daripada pihak-pihak berkuasa dan tidak perlu panik, tidak mempercayai mesej viral yang tidak berasas atau sahih. Pada waktu yang mencabar, ini lebih baik bagi kita untuk bersatu sebagai sebuah negara dan percaya kepada pemimpin kita menjaga di antara satu sama lain juga meneruskan aktiviti harian dengan sebaik mungkin,'' tambahnya lagi.

Terdahulu itu, Yang Berhormat menyatakan dengan penuh hormat dan takzim sama-sama menyokong sepenuhnya supaya Persidangan MMN ini ditangguhkan disebabkan keadaan yang dihadapi oleh negara pada masa ini.

Yang Berhormat seterusnya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua atas kecekapan dengan memimpin permesyuaratan dan kepada pegawai-pegawai di Jabatan MMN di negara ini dengan memudah cara permesyuaratan hingga mesyuarat berjalan dengan lancar, teratur lagi memuaskan.

''Akhirnya, kaola berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sihat walafiat, dilanjutkan usia, taufik dan hidayah aman makmur juga kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam turun-temurun hingga ke akhir zaman, begitu juga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan kerabat diraja.

''Akhir sekali kaola tidak lupa mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat Yang Di-Pertua, Yang Dimuliakan Jurutulis, Yang Mulia Timbalan Jurutulis dan Ahli-ahli Yang Berhormat juga jabatan yang berkenaan atas tanggungjawab yang dijalankan dengan sempurna,'' tambahnya lagi.


(sumber berita: Pelita Brunei)

Attachments