Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

16.10.20 Amal Al Markabah Sasar Keluarga Memerlukan

KAPOK, Jumaat, 16 Oktober. - Majlis Penyerahan Derma bagi Aktiviti Jangkauan Masyarakat Melalui Projek Amal Al Markabah Ke Arah Mendukung Program 1 Kampung 1 Keluarga (1K1K) diadakan di kediaman Pemangku Ketua Kampung Kapok dan Rancangan Perumahan Negara Meragang, Pengiran Haji Ibrahim bin Pengiran Haji Timbang, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyerahkan derma tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku Pemangku Penghulu Mukim Serasa dan Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong.

Juga hadir selaku tetamu khas ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

Projek tersebut merupakan salah satu aktiviti jangkauan masyarakat di bawah Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) Kali Ke-29 bagi tahun 2020 yang dikendalikan oleh Universiti Teknologi Brunei dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam dalam memberikan peluang kepada para peserta program untuk memahami isu sosial yang lebih kompleks dan impaknya, seterusnya menyemarakkan semangat para peserta dalam membina masyarakat yang menyokong dan menjalin kolaborasi yang lebih erat dalam hal ehwal kemasyarakatan.

Derma projek tersebut juga adalah sumbangan ikhlas dan ihsan daripada syarikat-syarikat dan orang-orang persendirian masing-masing yang diserahkan kepada Pemangku Ketua Kampung berkenaan, manakala dari segi Pendidikan Ugama diserahkan kepada wakil Al-Minhaaj Centre, iaitu Dayang Nasriah binti Ruslan yang merupakan tenaga pengajar di pusat tersebut.

Projek berkenaan dilancarkan pada 30 September lalu dalam mendukung Program 1K1K.

Projek tersebut diketuai oleh Pemangku Timbalan Penguasa Polis, Haji Irham bin Haji Muhd. Arshad daripada Pasukan Polis Diraja Brunei, dan ahli-ahlinya terdiri daripada Awang Abuzar bin Haji Mohammad Tahir dari Jabatan Pertanian dan Agrimakanan; Dayangku Hajah Rosminah binti Pengiran Haji Alli dari Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan; Dayang Sarirani binti Haji Abdul Ghani dari Tabung Amanah Pekerja (TAP); dan Dayang Hajah Rabi'atul'adawiyah binti Haji A. Ahmad dari Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan.

Menurut ketua dan ahli-ahli projek tersebut, projek berkenaan adalah dihasrat untuk menyelesaikan masalah pengangkutan dalam kalangan anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan agar mereka dapat memanfaatkan sepenuhnya pendidikan percuma yang diberikan oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menerusi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

Di samping itu, projek tersebut juga bertujuan mewujudkan kasih sayang dalam institusi kekeluargaan serta memupuk semangat kekitaan dan tanggungjawab terhadap negara serta menyemai hubungan yang erat antara kerajaan dengan rakyat.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pemangku Penghulu Mukim Mentiri, Pengiran Haji Ismail bin Pengiran Haji Ibrahim serta Ketua-ketua Kampung di bawah Mukim Serasa dan Mukim Mentiri.


(sumber berita: Pelita Brunei)


Attachments