Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

23.10.20 MoU Tingkat Kemahiran Keusahawanan

JERUDONG, Jumaat, 23 Oktober. - Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei (DPPMB) adalah salah satu Pertubuhan Bukan Kerajaan (Non-Government Organisation) yang ditubuhkan pada 16 Februari 1966 untuk mewakili sepenuhnya keperluan Peniaga-Peniaga Melayu Brunei dalam menyokong kepentingan Pembangunan Perniagaan Melayu di Negara Brunei Darussalam.

Pada tahun 2020, DPPMB sudah berdiri selama 54 Tahun dan salah satu pertubuhan yang tertua di negara ini. Selaras dengan matlamat Pelan Strategik Portfolio 2020 iaitu Memperkasa Peniaga dan Pengusaha Melayu untuk Menerajui Perkembangan Ekonomi Negara bagi Mencapai Wawasan 2035, DPPMB petang tadi mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama LiveWIRE Sdn. Bhd. bertempat di Bilik Mesyuarat Tulip, Tingkat 2, Parkview Hotel, Jerudong.

Sebelum, MoU ini ditandatangani, DPPMB dan LiveWIRE sudah giat menjalinkan kerjasama khususnya dalam membantu peniaga-peniaga Melayu Brunei dan belia-belia tempatan. Sehubungan itu, dengan termeterainya MoU ini, akan meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak.

Antara usaha kerjasama yang dibuat adalah mengadakan bengkel-bengkel keusahawanan yang dikendalikan khususnya kepada Ahli-ahli DPPMB, peniaga-peniaga Melayu Brunei dan juga belia-belia.

Adapun bengkel tersebut diadakan adalah bagi membantu meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan memperkukuhkan lagi perancangan perniagaan supaya ia berdaya tahan dan dinamik.

Di samping itu, DPPMB akan berganding bahu bersama LiveWIRE Sdn. Bhd. dalam menyediakan mentor dan pelatih yang terdiri daripada Ahli-ahli DPPMB yang mempunyai pengalaman dalam perniagaan dengan memberikan khidmat nasihat dan bimbingan dalam keusahawanan. 

Terdahulu, tetamu kehormat, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arsad selaku Yang Di-Pertua DPPMB dalam ucapannya menjelaskan bahawa peluang perniagaan diberikan kepada pengusaha-pengusaha tempatan malah beberapa usaha telah diusahakan oleh syarikat-syarikat korporat seperti Shell, Bank dan syarikat-syarikat lain seperti I-Usahawan, Seeds, Incubator, Mentoring dan lain-lain untuk meningkatkan lagi perusahaan tempatan.

Yang Berhormat juga berharap agar lebih banyak lagi syarikat-syarikat lain dapat membantu dalam memberikan sokongan program-program membangunkan keusahawanan dan memberikan peluang pekerjaan khususnya kepada anak-anak tempatan.

"Menimba ilmu dalam mengikut kursus akan banyak membantu dalam perniagaan, umur bukan jadi halangan yang penting sekali kemahuan dan mahu berjaya," jelas Yang Berhormat.

Yang Berhormat juga menambah bahawa DPPMB dan LiveWire Sdn. Bhd. mempunyai visi dan misi yang sama untuk membangun keusahawanan bagi rakyat tempatan. DPPMB mempunyai kekurangan dalam pembelajaran Hard dan Soft Skill di mana LiveWIRE pula mempunyai kelebihan dalam bidang tersebut.

DPPMB mempunyai banyak ahli jelasnya, yang berpengalaman dan kemahiran yang boleh memberikan atau menjadi mentor dalam pembangunan keusahawanan.

"Maka dengan adanya penandatanganan MoU pada hari ini akan dapat memantapkan lagi kerjasama di antara DPPMB dan LiveWIRE untuk berusaha memberikan kepimpinan, bimbingan dan sokongan kepada program kedua-dua pihak," ujarnya.

Menandatangani MoU di antara DPPMB dengan LiveWIRE Sdn. Bhd. bagi mewakili pihak DPPMB ialah Setiausaha Agung DPPMB, Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Sirat sementara bagi pihak LiveWIRE Sdn. Bhd. ialah Pengerusi dan Pengurus In-Country Value Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn. Bhd (Brunei Shell Petroleum In-Country Value Manager and Chairman of LiveWIRE), Dayang Hajah Rosita binti Haji Hassan.

Melalui MoU ini juga, LiveWIRE dan DPPMB akan terus memberikan sokongan demi melahirkan peniaga dan usahawan Melayu Brunei yang berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan dengan membekalkan mereka dengan tatacara berniaga dengan betul dan tertib serta pengurusan kewangan serta perancangan masa depan.


(sumber berita: Pelita Brunei)

Attachments