Skip Ribbon Commands
Skip to main content

News

Manage PermissionsManage Permissions

23.03.19 Segera laksana perkara-perkara dibincangkan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 Mac. - Hari ke-11 Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-15 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, sesi petang diakhiri dengan Ucapan-ucapan Penangguhan oleh Yang Berhormat Ahli-ahli MMN.

Yang Berhormat Awang Haji Abdul Hamid @ Sabli bin Haji Arsad dalam ucapannya antara lain menyentuh mengenai 'economic diversification', salah satu industri yang dikenal pasti berpotensi besar dan perlu diberi perhatian ialah industri halal.

Dengan pembangunan industri ini katanya, InsyaaAllah ia akan membawa kepada peningkatan eksport produk halal, seterusnya menaikkan lagi KDNK negara.

''Justeru, sudah tiba masanya industri halal ini melangkah ke tahap yang seterusnya. Negara kita berpotensi menjadi destinasi bagi halal hub, yang bukan sahaja memfokuskan kepada produk makanan dan minuman, tetapi juga industri-industri yang lain seperti 'pharmaceutical', kosmetik, makanan binatang ternakan, 'hospitality' dan pelancongan, perbankan dan kewangan, logistik dan lain-lain,'' jelasnya.

Yang Berhormat juga menekankan perlu ada pemikiran baharu yang lebih inovatif dan relevan lebih lagi dengan teknologi dunia masa ini yang semakin berkembang, sambil kita melangkah ke era ekonomi digital.

Sementara itu, Yang Berhormat Awang Haji Mohimin bin Haji Johari @ Jahari dalam Ucapan Penangguhannya menyatakan, pemerkasaan kepimpinan akar umbi akan mula dibuat dengan memperkenalkan muka-muka baharu dalam jawatan Penghulu dan Ketua Kampung seluruh negara.

''Hanya sahaja kasihan orang lama yang diganti secara drastik tanpa menunggu mereka ini punya kesempatan untuk menghabiskan tempoh yang sepatutnya berkhidmat, yang masih sebahagiannya, mempunyai hutang yang belum dapat difikirkan macam mana mengatasi masalah yang timbul daripada penggantian drastik tersebut,'' ujarnya.

Yang Berhormat juga menyentuh supaya kita membeli-belah, berbelanja dalam negara sendiri, tetapi tidak banyak berbeza walaupun kita berbelanja dalam negara atau di luar negara dan adalah suatu kerugian yang amat sangat dengan terus membiarkan pekerja asing yang tidak sepatutnya berniaga dengan mengguna pakai lesen perniagaan orang Brunei menjalankan perniagaan khususnya runcit.

Yang Berhormat Fdr. Ar. Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman pula dalam Ucapan Penangguhannya mengisar tentang banyak isu-isu negara untuk pekembangan ekonomi dan kepentingan rakyat dibincangkan sehingga ke hari ini dan amat berharap bahawa perbincangan itu akan melahirkan perubahan positif terhadap pembangunan bangsa dan negara.

Yang Berhormat turut menekankan lagi supaya apa sahaja yang dibincangkan dan dipersetujui akan dapat segera dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berwajib untuk mengelakkan daripada perkara-perkara tersebut dipersoalkan lagi dan ini juga akan lebih memberikan keyakinan kepada masyarakat terhadap pengurusan pihak kerajaan yang kompleks dan serba mencabar ini.

Yang Berhormat Ahli-ahli MMN juga masing-masing melahirkan ucapan tahniah atas kebijaksanaan Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN kerana dapat memimpin permesyuaratan dengan telus dan bijaksana.

Diucapkan juga setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Yang Dimuliakan Jurutulis dan Yang Mulia Timbalan Jurutulis juga pegawai-pegawai dan kakitangan yang terlibat.

 

(sumber berita: Pelita Brunei)

Attachments